Saturday, April 24, 2010

LAWATAN KE AQUARIA






FALSAFAH PENDIDIKAN KHAS

Pendidikan Khas di Malaysia adalah satu usaha berterusan untuk melahirkan insan yang berkemahiran, berhaluan, berupaya, beriman, berdedikasi, mampu merancang dan menguruskan kehidupan serta menyedari potensi diri sendiri sebagai seorang individu dan ahli masyarakat yang seimbang dan produktif selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.


OBJEKTIF

Setiap murid diberi peluang dan bimbingan yang seluas-luasnya untuk membolehkan mereka:

1. Mahir berkomunikasi dan berinteraksi
2. Mahir menyesuaikan diri dalam masyarakat
3. Tahu mengenai hal diri dan alam sekitar
4. Menjaga kesihatan dan keselamatan diri
5. Menguruskan hal kehidupan seharian
6. Mempunyai keyakinan dan konsep kendiri yang positif
7. Melibatkan diri dalam kegiatan rekreasi
8. Faham keperluan perkembangan jasmani dan menguasai kemahiran motor
9. Menghayati dan mengamalkan nilai murni
10. Mengembangkan potensi, bakat, kreativiti dan intelek
11. Melakukan praktis asas dan menjalankan kerja sendiri
12. Menguasai kemahiran asas ke arah bidang kerjaya.


MATLAMAT

Kurikulum murid-murid bermasalah pembelajaran adalah bertujuan untuk melengkapkan mereka dengan kemahiran-kemahiran tertentu bagi membantu mencapai perkembangan yang menyeluruh. Perkembangan ini meliputi aspek-aspek intelek, rohani, jasmani, emosi, bakat, akhlak, nilai estetika dan sosial agar mereka boleh menjadi ahli masyarakat yang berdikari dan dapat menyumbang kepada pembangunan negara serta memberi sumbangan kepada keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.


VISI
Menyediakan perkhidmatan berkualiti kepada murid-murid dengan keperluan khas ke arah kecemerlangan hidup sejajar dengan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan.


MISI
Menyediakan pendidikan yang berkualiti kepada murid-murid dengan keperluan khas untuk menjadikan mereka insan yang dapat berdikari, berjaya dalam hidup dan memberikan sumbangan bakti kepada masyarakat dan negara.


SEJARAH PENDIDIKAN KHAS

Unit Pelajaran Khas, Bahagian Sekolah, KPM ditubuhkan pada tahun 1964 untuk mentadbir program pendidikan khas. Mulai 10.10.1995 unit ini dinaik taraf sebagai Jabatan Pendidikan Khas, KPM. Pada 1. 7. 1998 Unit Pendidikan Khas, JPN ditubuhkan dan bertanggungjawab kepada pengurusan pendidikan khas (integrasi) di negeri masing-masing.

Kelas Integrasi Pendidikan Khas dibuka di SMK Semerah, Batu Pahat pada 20. 3. 2006, oleh En. Mohamad Zaad Bin Hisham selaku penyelaras dan En Abd. Hamid bin Bagong dengan murid seramai 16 orang.

Kini, kelas ini dikendalikan oleh 5 orang guru dan 2 pembantu dengan 31 orang pelajar.


AKTIVITI

Kelas Pendidikan Khas, SMK Semerah menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran seperti yang ditentukan oleh Kementerian Pelajaran. Di samping itu pelajar-pelajar ini tidak ketinggalan dalam aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh pihak sekolah seperti gotong-royong, sukan dan lain-lain. Mereka juga menyertai lawatan sambil belajar ke tempat-tempat tertentu di dalam dan di luar daerah. Pelajar-pelajar kelas ini juga terlibat dalam acara permainan dan olahraga pendidikan khas peringkat daerah dan negeri.

PENDIDIKAN KHAS

Pendidikan khas adalah perkhidmatan dan kemudahan pendidikan yang disediakan untuk individu berkeperluan khas, atau kurang upaya, yang terdiri daripada mereka yang mengalami kecacatan mental, bermasalah pembelajaran, gangguan emosi dan tingkah laku, gangguan komunikasi(pertuturan dan bahasa), hilang pendengaran, hilang penglihatan atau darjah penglihatan yang rendah, kecacatan fizikal dan golongan pintar cerdas.


Di Malaysia

Kementerian Pelajaran Malaysia menurut Akta Pendidikan 1996, Peraturan-peraturan Pendidikan (Pendidikan Khas 1997 Bahagian II 3(2) menyediakan pendidikan khas dan kemudahan untuk murid bermasalah penglihatan dan pendengaran, manakala pendidikan khas integrasi pula adalah untuk yang bermasalah pembelajaran, penglihatan, dan pendengaran.

Ia diwujudkan di peringkat prasekolah, sekolah harian biasa rendah dan menengah serta sekolah menengah teknik atau vokasional, dengan menggunakan pendekatan pengajaran berasingan dan separa inklusif. Tempoh pengajian bagi sekolah rendah adalah selama enam tahun, manakala bagi sekolah menengah pula selama lima tahun dan dilanjutkan sehingga dua tahun maksimum mengikut keperluan murid.


Syarat-syarat

Syarat-syarat kemasukan ke sekolah pendidikan khas pula adalah; Pra Sekolah (berusia tidak kurang 6 tahun), Sekolah Rendah (berusia 6+ hingga 14+ tahun) dan Sekolah Menengah (13+ hingga 19+ tahun. Semua kanak-kanak ini mestilah mendapat pengesahan daripada doktor terlebih dahulu dan dapat menguruskan diri sendiri tanpa bantuan orang lain.